Otak-otak JB



Otak-otak adalah isi ikan berempah di Malaysia. Ia terdapat di Terengganu, Pahang, Johor dan juga di Indonesia, terutamanya di Sulawesi, dan Singapura di mana ia dipanggil sebagai otah-otah, otah atau otak. Ia kebiasaannya di makan sebagai makanan ringan.

[Sumber: Wikipedia]

Sebut sahaja 'Otak-Otak JB' nama itu memang tidak asing dalam kalangan masyarakat di negeri ini, malah penduduk Sabah, Sarawak dan Singapura turut mengakui keenakannya.
Antara keistimewaan otak-otak keluaran Mr. Noh JB Sdn. Bhd. yang telah beroperasi kira-kira sembilan tahun lalu dengan membuka kilang operasi di Taman Bukit Mewah di sini ialah keaslian resipinya.
Pengurus pengeluarannya, Norijah Bujang, 44, berkata, keaslian resipi bergantung kepada isi ikan dan rempah ratus yang segar dengan mengekalkan pembungkusan menggunakan daun nipah atau daun kelapa.
"Selain otak-otak yang menjadi tarikan utama para pelanggan, kami turut mempelbagaikan produk iaitu otak-otak popia, otak-otak karipap, magele, keropok lekor dan satar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Ibu kepada lima orang anak ini berkata, setelah beroperasi hampir 10 tahun, perniagaannya kini berkembang dengan cukup menggalakkan sama ada dari segi pengeluaran atau pun rangkaian perniagaan.
Norijah memberitahu, semasa memulakan perniagaan iaitu pada tahun 2000, syarikatnya hanya mampu mengeluarkan 2,000 hingga 5,000 keping otak-otak sehari.
Tetapi kini, katanya, jumlah pengeluarannya mencecah hingga 20,000 keping sehari setelah menggunakan pelbagai mesin berteknologi moden.

Menurutnya, apa yang membanggakan, produk keluarannya bukan sahaja berjaya menembusi pasaran negeri ini, malah kini turut berkembang ke Lembah Klang, Kedah, Sabah, Sarawak dan Singapura.
"Kejayaan kami membuka enam kiosk yang menggunakan jenama otak-otak JB iaitu di KipMart Tampoi, S Mart Pandan, KipMart Kota Tinggi, KipMart Masai, TJ Mart Kulai dan yang terbaru di Teluk Danga juga merupakan petunjuk kepada keupayaan kami mengembangkan perniagaan tersebut.

"Satu lagi kekuatan dan membolehkan kami berdaya tahan hingga ke hari ini di samping mengikuti promosi-promosi peringkat negeri, kebangsaan malah hingga ke Singapura, kami juga mengekalkan harga pasaran otak-otak tidak lebih 50 sen sekeping dengan memastikan rasa dan isi kandungnya mantap," katanya.
Mengenai perancangan masa depan, Norijah memberitahu, pihaknya menggalakkan orang ramai yang berminat untuk menjalankan perniagaan francais otak-otak.

"Kita akan wujudkan kiosk-kiosk di lokasi yang strategik dengan dibekalkan beberapa kemudahan termasuk pelbagai promosi untuk mereka dengan harapan turut menikmati keuntungan.
"Kami berpendapat dengan cara mewujudkan kiosk-kiosk seperti itu, ia dapat menambah sumber pendapatan terutamanya semasa kegawatan ekonomi sekarang," katanya.
Menurutnya, menjelang bulan Ramadan pada Ogos depan, mereka yang berminat untuk menjual otak-otak, satar dan beberapa produk lain boleh menghubungi talian 012-7582429.


[Sumber: MFA]